“PERMAI Paksi Komuniti”
Revolusionis terkenal, Dr. Ernesto Che Guevara pernah berkata,
“I don't care if I fall as long as someone else picks up my gun and keeps on shooting.”
Perjuangan memimpin masyarakat harus diteruskan, biarpun Ahli Majlis Mesyuarat (AMM) PERMAI silih berganti, pemimpin datang dan pergi.
Hadirin,
Memperkenalkan, barisan Ahli Majlis Mesyuarat PERMAI sesi 2011/2012 untuk naik ke pentas.
…………………………………
Assalamualaikum w.b.t.
(Pujian dan Selawat)
Segala puji bagi Allah, yang telah menjadikan kita pada hari ini, satu agama satu aqidah, satu saudara satu ukhuwwah, satu ummah yang jitu dan bertuah.
(Petikan ayat Al-Quran Surah Ali-Imran : 26)
Agenda mereformasikan pentadbiran
Hadirin hadirat yang dirahmati Allah,
Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid (PERMAI) sejak penubuhannya pada tahun 2004, sehingga sekarang sudah melalui pelbagai proses transformasi, tidak kurang juga mehnah dan tribulasi.
Persoalannya, apakah proses atau sistem pentadbiran sebelum ini patut diwariskan?
Adakah gaya pengurusan pentadbiran yang sama harus dikekalkan?
Maka saya, mewakili pimpinan sesi 2011/2012 tampil dengan jawapan.
Insya-Allah pada sesi kali ini, pimpinan mahasiswa Malaysia Irbid akan melaksanakan satu reformasi sistem pentadbiran.
Selari dengan keperluan persatuan yang saban tahun menerima ratusan pertambahan ahli, maka agenda mereformasikan pentadbiran itu tidak boleh lagi dinafikan, sememangnya satu keperluan.
Izinkan saya untuk menghuraikan dengan lebih lanjut tentang agenda yang pertama ini.
Pertama,
Kami berhasrat ingin mengembalikan peranan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) sebagai pemikir dan Ahli Majlis Eksekutif (AME) sebagai pelaksana. Jika sebelum ini, idea sesebuah program atau aktiviti itu sebahagiannya datang daripada Jawatankuasa Kerja (JKK), maka pada sesi kali ini, segala pelaksanaan program dan aktiviti sepanjang sesi akan difikirkan dan diputuskan bersama oleh AMT, dan JKK akan memainkan peranan sebagai pelaksana.
Kedua,
Setiap AJK di bawah setiap JKK dan setiap unit akan dikumpulkan pada satu perjumpaan dan akan diberikan taklimat penyelarasan bidang tugas bagi memastikan tiada pertindihan peranan kerja.
Ketiga,
Bagi memastikan ahli yang dilantik menjadi jawatankuasa pelaksana program mendapat kemahiran dan pengetahuan yang secukupnya sebagai penggerak sesuatu program, maka PERMAI tampil untuk menyediakan buku panduan pelaksanaan program sebagai rujukan dari sudut pengendalian mesyuarat, protokol majlis, ucapan pengerusi majlis, penggubalan kertas kerja, penggubalan laporan serta pengurusan-pengurusan lain.
Keempat,
Kaedah pelantikan AJK program juga akan diubah. Jika sebelum ini, presiden dan ketua helwi melantik hanya pengarah dan timbalan pengarah, kemudian pengarah bertanggungjawab melantik ajk-ajk bawahan, namun pada sesi kali ini AMM akan melantik bukan sahaja pengarah dan timbalan pengarah tetapi juga beserta 3- 4 orang lagi sebagai satu pasukan AJK. Bermaksud untuk setiap program, satu pasukan AJK sudah tersedia dilantik oleh AMM PERMAI.
Kelima,
Pelantikan pasukan AJK bagi semua program atau aktiviti sepanjang sesi akan dilantik pada awal sesi bagi memastikan pengurusan kerja yang efisyen.
Keenam
Seringkali bagi seseorang yang baru dalam pengurusan program, mereka menghadapi masalah dalam memulakan langkah gerak kerja. Bagi mengatasi masalah tersebut, PERMAI menyediakan satu kursus profesional untuk semua pasukan AJK program PERMAI sepanjang sesi bagi memastikan mereka menjalankan program dan aktiviti dengan berkualiti.
Tambahan daripada itu, bagi memastikan pengurusan tenaga kerja yang efisyen, pemilihan tenaga kerja PERMAI perlu dipilih dengan teliti bersesuaian dengan aspek yang menyeluruh.
Oleh itu, satu kajian sumber tenaga yang merangkumi status akademik, pengalaman bekerja, potensi dan kemahiran peribadi, akan dibuat bagi memastikan pemilihan tenaga kerja PERMAI adalah yang terbaik bersesuaian dengan jenis dan kapasiti program.
Selain itu,
Bagi memastikan gerak kerja PERMAI mempunyai check and balance, maka komunikasi dua hala serta nasihat dan idea dari yang berpengalaman harus dijana.
Maka, bersesuaian dengan hasrat tersebut, sesuai dengan PERMAI yang bakal menempuhi pelbagai cabaran, kami menubuhkan Majlis Penasihat di bawah organisasi Presiden bagi memberikan pandangan dan nasihat kepada dasar-dasar dan gerak kerja PERMAI terutama apabila timbulnya isu-isu berat.
Mereka terdiri dari kalangan yang berpengalaman dalam persatuan, wakil-wakil ijazah lanjutan, senior-senior yang berpengalaman dan orang-orang yang berpengaruh. Tapi, harus diingatkan, bahawa segala keputusan masih di tangan AMM.
Juga, pada kali ini, kita melihat perlunya ada ruang komunikasi yang lebih profesional dan terbuka di antara ahli dengan pimpinan. Maka atas sebab itu, kita menyediakan ruang bersuara kepada wakil-wakil setiap batch untuk duduk bersama-sama dengan pimpinan bagi menyuarakan pendapat dan mengeratkan komunikasi dua hala.
Justeru penubuhan entiti batch bukan lagi khayalan tapi satu kemestian. Penubuhan batch perlu diinstitusikan secara rasmi.
Kita juga melihat batch adalah komponen penting dalam membentuk masyarakat di sini. Banyak program-program batch sebelum ini yang kita lihat secara tak langsung memberi banyak manfaat kepada pembentukan individu. Oleh sebab itu, PERMAI secara sukacita berhasrat untuk memberi sebahagian peruntukan untuk aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh batch selepas ini.
Seterusnya,
Kita sedia maklum bahawa kewangan merupakan keperluan penting dalam menggerakkan sesuatu pertubuhan. Maka dengan tujuan itu, PERMAI ingin memberi penumpuan yang lebih dan mengangkat unit ekonomi setaraf dengan JKK yang lain bagi menampung perjalanan PERMAI dari sudut kewangan.
Kita juga akan menjadikan unit ekonomi PERMAI ini sebagai unit ekonomi induk dan menghapuskan unit-unit ekonomi di bawah entiti PERMAI yang lain seperti unit ekonomi MMJ dan MMY. Kita ingin MMJ dan MMY terus memberi tumpuan kepada pembinaan individu mahasiswa univeristi tanpa perlu khuatir lagi untuk menjana ekonomi.
Seperti yang kita maklum,
Sesuatu peraturan atau undang-undang itu perlu terus bersesuaian dengan suasana dan keadaan yang berubah-ubah. Maka dengan itu, insya-Allah pada sesi kali ini kita akan tubuhkan panel pemerkasaan perlembagaan dan panel kajian pilihanraya. Panel pemerkasaan perlembagaan berperanan sebagai badan yang akan mengkaji perlembagaan sedia ada dan merumuskan cadangan-cadangan untuk pengubahsuaian perlembagaan supaya sesuai dengan peredaran masa dan keadaan.
Manakala, panel kajian pilihanraya adalah badan bebas yang berperanan untuk mengkaji sistem pilihanraya sedia ada serta menerima proposal-proposal dari ahli untuk penambahbaikan sistem pilihanraya yang saban tahun mengundang kontroversi.
Agenda membentuk individu unggul sebagai aset masa hadapan
Hadirin sahabat mahasiswa mahasiswi,
Agenda kedua yang menjadi keutamaan kami pada sesi kali ini ialah pembentukan individu unggul sebagai aset masa hadapan.
Bagaimana?
Pertama,
Melalui pembinaan mentaliti.
Seperti yang kita tahu, mentaliti merupakan elemen penting jika ingin membentuk individu unggul. Maka mentaliti itu jika ingin digarap, harus dimulakan dengan kesedaran. Mahasiswa Malaysia Jordan tidak boleh terus selesa dan leka. Tidak boleh terus lesu dan bisu. Kita harus bersedia dan sedar sentiasa tentang cabaran-cabaran yang menanti di Malaysia. Matlamat keberadaan di sini harus jelas, bahawa kita ingin menjadi manusia yang mempersiapkan diri untuk masa hadapan.
Jadi bagaimana kesedaran ini ingin dipupuk?
Insya-Allah, bagi memastikan kesedaran dan kecaknaan kita untuk terus bersedia dan terus mengetahui isu-isu yang bakal kita hadapai ketika kepulangan kita ke Malaysia nanti, satu wacana perdana mega akan kita anjurkan. Kita buka ruang untuk mahasiswa berbincang. Kita buka minda untuk mahasiswa berbicara. Kita buka pemikiran untuk mahaiswa terus bersiap mendepani cabaran.
Selain itu, antara ciri individu unggul, haruslah meraikan kepelbagaian pendapat. Maka PERMAI kali ini berhasrat besar untuk membina individu yang mempunyai pemikiran terbuka. Kepelbagaian pendapat harus diraikan. Suara-suara dari pelbagai penjuru ahli harus didengari. Maka, selari dengan itu, PERMAI akan menganjurkan beberapa siri open talk.
Juga, kita akan menyediakan medium terbuka untuk ahli di Facebook untuk menyatakan suara dan pendapat tentang apa-apa isu. Kita akan menyediakan satu Facebook group untuk ahli melontarkan apa-apa idea sama ada berkaitan gerak kerja atau dasar PERMAI atau apa-apa isu semasa yang sedang hangat diperkatakan.
Hadirin,
Sesiapa pun tidak dapat menafikan, bahawa elemen kerohanian merupakan tunjang kepada keunggulan insan. Maka bagi memastikan roh-roh pemuda dan pemudi di Irbid ini terus basah dengan iman dan semakin kuat dengan pegangan, insya-Allah kita akan memupuk kesedaran bertuhan dalam diri setiap insan.
Kita akan pastikan, setiap risalah-risalah keimanan akan dihantar ke setiap pintu rumah ahli. Ahli tidak perlu lagi dipanggil untuk menikmati kemanisan iman, tapi kemanisan iman itu yang akan datang menerjah ke dalam setiap rumah ahli PERMAI.
Kita akan giatkan kempen kerohanian di media-media, dan kita akan edarkan cakera padat yang mempunyai video atau audio kerohanian yang akan mebasahi jiwa ke dalam setiap rumah supaya suatu hari nanti kita harapkan, hedonisme itu akan tewas dan kesedaran bertuhan itu akan bertunas.
Juga, kita akan hidupkan kembali majlis-majlis introspeksi diri untuk siswa di beberapa lokasi yang memudahkan ahli untuk bertandang. Juga, kita akan terus hidupkan kembara projek iman untuk siswi di penempatan masing-masing.
Tidak dapat dinafikan juga wadah PINTAR sebagai penyumbang yang besar dalam memupuk kesedaran hidup bertuhan melalui perjumpaan PINTAR yang diadakan dan yang akan diperkasakan.
Hadirin mahasiswa dan mahasiswi sekalian,
Bagaimana pula dengan persediaan ilmu? Sejauh mana PERMAI menyediakan ahli-ahlinya dengan kelimuan yang kukuh bagi mengisi persiapan sebagai graduan Yarmouk dan graduan JUST?
Bagi graduan Yarmouk, kita akan menyediakan mereka dengan pengajian ilmu-ilmu alat (ulum wasilah) kerana seperti yang kita tahu ilmu-ilmu alat ini sangat penting sebagai asas seorang graduan syariah.
Manakala bagi graduan JUST, kita akan menyediakan projek-projek, kajian dan seminar sebagai memenuhi matlamat untuk mereka bersedia dari sudut kemahiran dan keilmuan sebagai doktor perubatan atau pergigian mendepani masyarakat di Malaysia.
Hadirin mahasiswa mahasiswi,
Kemahiran memimpin itu merupakan antara ciri penting untuk membentuk individu unggul sebagai aset masa depan. Saya percaya mahasiswa mahasiswi di depan saya pada hari ini, suatu hari nanti akan menjadi pemimpin.
(Petikan hadis setiap kamu adalah pemimpin)
“Leaders don't create followers, they create more leaders”
Maka, kami pada kali ini dengan sukacita akan terus memperkasakan Akademi Al-Fateh sebagai medium untuk membina pemimpin yang berwibawa untuk ummat manusia.
Agenda membina komuniti sejahtera
Hadirin mahasiswa mahasiswi,
Setelah tadi saya perjelaskan agenda reformasi pentadbiran, setelah saya memperincikan agenda pembentukan individu unggul sebagai aset masa hadapan, maka ingin saya menghuraikan agenda ketiga PERMAI pada sesi kali ini, iaitu membina komuniti sejahtera.
Ingin saya bertanya anda di hadapan saya,
Apakah yang anda fahami tentang komuniti?
Komuniti sejahtera itu apabila siswa dan siswi memahami situasi dalam interaksi, hubungan senior dan junior terbina, perpaduan antara batch dijana, keselamatan ahli terjaga, hak mendapatkan khidmat perhubungan terlaksana, khidmat penempatan tersedia, keperluan dan kebajikan ahli dipenuhi, maka terbentuklah kesejahteraan komuniti.
Maka persoalannya sekarang, apakah yang PERMAI akan laksanakan untuk merealisasikan agenda membina komuniti sejahtera ini?
Pertama,
Insya-Allah, kita akan menyediakan lebih banyak medium untuk ahli yang pelbagai latar belakang, sama ada senior atau junior, JUST atau Yarmouk agar dapat duduk bersama.
Kita akan mewujudkan warung PERMAI untuk ahli-ahli meluangkan masa bersantai sekali sekala.
Kita juga akan menganjurkan program rumah terbuka hari raya dengan kerjasama daripada setiap batch untuk mengukuhkan hubungan interbatch (antara batch).
Kita juga akan meneruskan program PERMAI Super League kerana kita yakin di sini tempat ahli bersama.
Juga, mungkin kita akan wujudkan liga-liga tambahan untuk sukan-sukan yang lain.
Kita juga akan meneruskan aktiviti kemasyarakatan seperti hari raya Aidiladha di mana ahli-ahli dapat turun untuk melakukan aktiviti korban bersama-sama.
Khas untuk siswi, bagi memupuk kesepaduan di kalangan kakak-kakak dan adik-adik dalam masa yang sama meraikan keinginan untuk kembara, insya-Allah PERMAI pada kali ini akan menganjurkan rehlah khusus untuk mahasiswi.
Dari aspek kebajikan,
Kita akan menganjurkan satu projek mega infaq perdana di kalangan ahli-ahli PERMAI dengan kerjasama Unit Zakat dan Sedekah MPPMJ bagi meringankan serba sedikit bebanan kewangan ahli PERMAI juga ahli-ahli di mantiqah lain.
Rentetan dari cadangan pada sesi lepas, kita akan mewujudkan satu tabung skim ta’awun sebagai satu tabung kebajikan tetap untuk peruntukan hal-hal kecemasan ahli PERMAI seperti kematian, kemalangan, rawatan, kehilangan dan lain-lain.
Juga bagi pelajar-pelajar baru tahun pertama yang akan datang, kita menyediakan penjualan beberapa buah perabot asas yang murah yang boleh dibayar ansuran kepada mereka yang kurang berkemampuan. Seperti yang kita sedia maklum, perbelanjaan kewangan pelajar baru pada awal kedatangan mereka adalah tinggi, jadi PERMAI berusaha menghulurkan bantuan, meringankan beban.
Selain itu, bagi memperjuangkan hak mahasiswa mahasiswi Irbid di sini yang secara tidak langsung turut menjadi pengguna dalam pasaran tempatan, PERMAI akan menubuhkan satu unit yang dipanggil sebagai unit kepenggunaan. Unit ini akan berperanan untuk menyedarkan hak-hak kita sebagai pengguna seperti harga semasa pasaran barangan, harga yang sepatutnya untuk khidmat pengangkutan, sewa rumah yang berbaloi dan lain-lain. Unit ini juga berperanan sebagai unit yang menapis dan menyemak sebarang perniagaan yang melibatkan jumlah kewangan yang besar di kalangan ahli seperti penjualan tiket kapal terbang. Maka sebarang penjualan kepada ahli PERMAI akan disemak terlebih dahulu sebelum diluluskan dan diiklankan.
Dari aspek keselamatan,
Kita akan mempergiatkan interaksi dengan masyarakat tempatan dan menjalin kerjasama dengan mereka bagi menangani sebarang isu keselamatan.
Juga, dari sudut perundangan, PERMAI telah pun menyatakan hasrat dan bersuara kepada MPPMJ untuk kita sama-sama menggesa pihak kedutaan untuk menyediakan khidmat guaman tempatan khas untuk mahasiswa mahasiswi Irbid khususnya dan mahasiswa mahasiswi Jordan amnya.
Dari aspek penempatan pula,
Bagi memastikan ahli mendapat khidmat penempatan dan kediaman yang sepatutnya, kita telah menubuhkan unit maktab PERMAI. Unit maktab PERMAI akan menyediakan dan menawarkan kediaman yang memenuhi ciri-ciri yang sepatutnya dan menawarkan keistimewaan-keistimewaan perkhidmatan untuk ahli.
Sahabat mahasiswa mahasiswi,
Buat akhirnya, kita harus kembali merenungi diri. Apa yang kami ingin bawa, bukan atas kepentingan peribadi kami, tapi kepentingan ahli, keutamaan ahli. Biarlah PERMAI menjadi tempat kita bersama, menanam benih kesepaduan, pentas kebersamaan dan menjadi saksi persaudaraan tidak kira siapa pun kita, apa latar belakang kita, apa pemikiran kita, apa universiti kita, apa pengkhususan kita. Sama-sama kita bina dan terus membina agar PERMAI menjadi paksi komuniti.
“PERMAI Paksi Komuniti”, bukan sekadar slogan yang dilaung-laungkan, tapi satu realiti yang hampir pasti.
Sekian. Terima kasih.
Ucapan oleh :
Ahmad Hidayat Hasni bin Mad Isa,
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid (PERMAI),
Sesi 2011/2012
Sabtu, 16 Julai 2011
moga kata2 ini menjadi realiti... insyaAllah..
ReplyDelete