July 17, 2011

cepatnya dah siang!

Hari ini seawal jam 5 pagi, cahaya matahari sudah menyingkap tirainya seperti jam 7 pagi di Malaysia. Masuk kali ini, sudah tiga kali saya berpengalaman menghabiskan musim panas di Jordan. Bukan selalu peluang datang begini, esok lusa sudah pulang ke tanah tumpah darah,inshaAllah.

Dulu sewaktu di sekolah, cikgu biologi saya pernah bercerita, orang di negara 4 musim lebih aktif jika dibandingkan dengan orang-orang di negara tropika. Lalu bersoal jawablah dengan guru yang berdedikasi itu, kenapa, apa rasionalnya, di mana buktinya?

Cikgu saya itu bercerita bahawa orang putih (sinonim dengan negara 4 musim) mengalami 4 musim setahun. Musim sejuk mencurahkan salji yang tebal, musim bunga yang ceria, musim panas selesa untk melancong dan musim luruh; membayangkan daun-daun kering yang gugur cantik. Setiap musim mempunyai cabaran dan keseronokan masing-masing. Oleh itu, penduduk perlu segera menyesuaikan diri dengan cuaca semasa.

Musim sejuk di sesetengah tempat ada yang melibatkan ribut salji berhari-hari menutupi bumbung rumah dan cermin-cermin kereta. Lalu jentolak salji sentiasa diinovasikan supaya lebih efektif fungsinya. Rumah dan kereta dipasang pemanas dan sebagainya. SIstem perpaipan dan eletrik di rumah dikaji supaya efektif sejajar dengan cuaca semasa.

Selain keperluan tempat tinggal, aspek makanan, pengangkutan, perhubungan dan sebagainya dikaji secara aktif dan diperbaiki. Contoh yang paling mudah adalah Sistem rumah hijau.

Di asia,mungkin kita boleh melihat Jepun bagaimana mereka mempunyai semangat untuk hidup yang kuat walaupun setelah mengalami kerosakan yang teruk selepas bah tsunami yang lalu. Walaupun rumah dan tempat belajar/tempat kerja sudah banyak yang musnah, masing-masing mengambil sikap positif untuk memulakan hidup yang baru.

Tetapi, kita penduduk Malaysia jarang sekali berhadapan dengan fenomena alam semula jadi yang dinamik seperti mereka. Jika ada sekalipun, kebanyakannya adalah kesan sikap tidak prihatin kita terhadap isu kebersihan alam sekitar , pembangunan yang tidak mesra alam dan sebagainya. Banjir kilat, el nino, tanah runtuh dan bermacam-macam lagi; adalah akibat sikap peduli terhadap hak alam sekitar sebagai elemen kehidupan kita.


Justeru, saya sangat bersyukur dapat singgah sebentar di bumi Jordan ini. Bermusim empat tapi sederhana, penduduknya bermacam ragam tetapi ada yang meraikan, datar tetapi penuh ibrah. Saya berharap dapat mendidik diri menjadi dinamik selari dengan perubahan musim dan masa yang berubah-ubah untuk siang dan malam.

Sungguh, bangun 4 pagi di Jordan sama sekali tidak sama dengan 4 pagi di Malaysia.4 pagi musim sejuk lebih cenderung untuk terperangkap di bawah gebar. 4 pagi musim panas pula seakan-akan meraikan fajar sidiqv yang tidak sabar-sabar menjengah. Tetapi, inilah tarbiyah yang telah sebati mendidik para pejuang Islam,suatu masa dahulu.


1 comment:

Apa Pendapat anda?