December 1, 2011

Sempurna


Saat mulut kelu membicarakan kata dan ungkapan biasa, saat itu akal mula celaru dan kusut seperti tali yang bersimpul mati, saat terkadang itu jiwa mula rasa ingin mencari sesuatu. Sesuatu yang terasa kenyang pada jiwa sepertimana kenyangnya perut selepas makan. Tiada yang lebih nikmat setelah jiwa itu mendapat kata-kata semangat dari Tuhannya. Tuhannya memujuk diri ini supaya tidak merasa berat memikul tanggungjawab itu. Wahai hambaKu, tidak Aku berikan padamu suatu yang engkau sendiri tidak mampu memikulnya.

Meskipun batu itu dilemparkan pada kita dan waktu itu mengalir air mata dek kerana tiada kudrat mampu melawan lemparan batu itu, ketahuilah nanti akan wujud benteng pertahanan kita sendiri untuk melawan lemparan-lemparan itu semua. Ya, akan wujud dan ia akan wujud dan lahir daripada penciptaan benteng yang kita bina. Sesekali kita rebah dan letih memikirkan apa yang patut dilakukan, tapi sekadar yang sesekali itu juga jangan diulangi, biarlah rebahnya kita itu sekali sahaja tetapi strategi yang mantap dan penuh kekuatan itu yang  mengangkat kita terus setiap kali jalan itu ditempuhi. Saat kita membina strategi itu yakin lah kita bahawa hidup ini akan menjadi lebih berwarna-warni dengan lukisan strategi yang kita lakarkan.

Dunia tempat kita bekerja dan bersusah-payah. tapi kerana apa kita letih itu, bukan kerana inginkan habuan dunia itu, tapi lebih jauh dari itu. Jangan diminta habuan yang mati itu, jangan diharapkan balasan yang boleh terhapus dimakan anai-anai itu. Tetapi mohonlah dari Tuhan kita supaya mata kita dan mata akal kita mampu melihat ganjaran yang akan diberikan olehNYA kelak di hari penentuan kita semua. Kelak semua kerja kita akan menjadi bermakna dan begitu manis sehingga kita dapat berkongsi kemanisan itu kepada orang ramai.

Jika kita letih berbicara dan puas berfikir untuk itu dan ini, mari kita semua diamkan diri dan senyapkan minda , tumpukan pada kekuasaan Allah s.w.t pencipta kita yang satu. Hadirkan khusyuk dalam solat kita seharian. Kerana tiada penghubung yang lebih kuat melainkan solat itu. Rasakanlah nikmat berduaan bersama pencipta kita. Bayangkanlah seolah-olah dia sentiasa memimpin ita berjalan setiap hari hendak kemana-mana. Hidupkan jiwa kita dengan kesegaran intipati Al-quran. Jangan jadi manusia yang lemah jiwa tapi kuat jasadnya. Itu tidak mencukupkan kita untuk menjadi seorang hamba yang aktif, tetapi siramilah jiwa itu agar ia sentiasa segar membungakan keharuman keimanan lantas memberikan sepenuh kekuatan kepada jasad kita.

Semoga video motivasi di atas dapat menyegarkan semua yang membaca post ini .....~~~

No comments:

Post a Comment

Apa Pendapat anda?