January 31, 2012

Biar Bidadari Mencemburui Dirimu

Assalamualaikum wbt

Semoga semuanya sihat fizikal dan imannya. Kebanyakan pelajar sedang bercuti ketika ini. Semoga cutinya menjadi sangat bermanfaat inshaAllah.

Di kesempatan ini, suka sekali saya untuk berkongsi tentang sebuah buku tulisan Salim A.Fillah, belia dari kota seberang yang berjudul 'Agar Bidadari Mencemburui Dirimu'. Kini terjemahannya ke dalam Bahasa Melayu juga ada dengan tajuk 'Biar Bidadari Mencemburui Dirimu'.

Syurga adalah ganjaran besar yang berulang kali disebutkan dalam kalamullah Al-Quran. Suasananya nyaman, segar, indah pemandangannya tidak dapat dibayangkan oleh manusia. Sungai mengalir di bawahnya, kebun-kebun yang banyak buahnya...Subhanallah! Hanya Allah yang mengetahui hakikatnya.

Amirul Mukminin Umar B alKhattab r.a pernah ditanya oleh puterinya; "Tidak mahukah engkau sekiranya gajimu dinaikkan sedikit supaya engkau berpakaian yang lebih baik daripada sekarang dan makan yang lebih baik daripada sekarang, wahai Amirul Mukminin?". Ketika itu Khalifah Umar r.a memakai baju daripada kain yang kasar dan makan daripada roti yang keras.

Lalu Saidina Umar bin al-Khattab r.a berkata "Sesungguhnya dua orang sahabatku (Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar r.a) telah melalui jalan ini (kesusahan di dunia) dan mereka telah pun tiba di syurga. Maka apakah aku ingin mengambil jalan selain daripada jalan mereka?"

Manusia hari ini semakin teruja dengan dunia dan perkembangannya. Semakin hari semakin banyak gadjet dicipta melahirkan kemudahan hidup jauh lebih baik daripada apa yang datuk nenek kita bayangkan.Semakin hari, makin ramai juga manusia yang melupakan tawaran besar Allah untuk hamba-hamba-Nya yang berusaha.

Lain bagi orang yang beriman, dunia ini ibarat pernjara, syurgalah tempatnya merasai nikmat yang tiada henti. Bagi wanita solehah pula, mungkin perkataan bidadari sangat mencuit seperti mana Ummu Salamah bertanya kepada Rasulullah S.A.W

" ya Rasulullah, yang mana lebih utama? Wanita dunia ataupun bidadari bermata jeli?"

Buku berjudul 'Biar Bidadari Mencemburui Dirimu' ini dinukilkan untuk meniupkan obor keimanan dalam jiwa wanita muslimah yang solehah agar terus menjadi perindu syurga. Buku ini tidak ditulis dengan dalil naqli yang terlalu padat mahupun suruhan tanpa kompromi, bahkan jauh sekali!

Ia diawali dengan pembicaraan tentang hakikat wanita dari sudut Islam serta sumbangan-sumbangan sosial wanita yang dipandang tinggi dari kaca mata Islam. Setelah itu, penulis berbicara tentang bidadari pula, makhluk Allah yang menghuni syurga, menanti lelaki-lelaki mu'min yang telah membuktikan kecintaannya kepada Allah dan rasul. Akhlaknya mulia, pandangannya tertunduk dari lelaki yang bukan suaminya, suci lagi disucikan.

Seterusnya, penulis kembali membawa pembaca ke alam nyata, meninggalkan alam ghaib cukup sekadar yang diterangkan di dalam al-Quran dan hadith Rasulullah S.A.W dengan hakikat kewajipan wanita dunia yang bukan mudah seperti yang dilihat. Setimpal dengan kewajipan yang ada, ganjaran yang dijanjikan tiada tolok bandingnya.

Akhirnya penulis mengajak wanita muslimah memanfaatkan kelebihan yang dikurniakan Allah kepada mereka untuk pembangunan umat Islam. Penulis turut mencatatkan beberapa peristiwa bagaimana Rasulullah S.A.W, para sahabat dan ulama' salaf menyikapi wanita dengan akhlak islami. Sungguh wanita muslimah diumpamakan seperti mutiara dalam cengkerangnya; jika diambil cantik menjadi perhiasan, jika dibiarkan akan memperelok air yang melewatinya.

Buku ini saya sarankan untuk dibaca setelah minda penat menelaah buku ilmiah mahupun ideologi yang sarat dengan pelbagai teori untuk dicerna. Intinya cukup mudah namun mampu membawa pembaca bermuhasabah dengan amalannya, memperbaharui niatnya dan memberi 'refreshment' untuk kembali bersemangat!

fakta: Buku ini siap ditulis kala penulis berusia kurang sebulan dari angka 20.

1 comment:

  1. Dari Ummu Salamah r.a, ia berkata: Saya bertanya,

    “Wahai Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari yang bermata jeli?”

    Baginda s.a.w menjawab, “Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari yang bermata jeli, seperti kelebihan apa yang tampak daripada apa yang tidak tampak.” Saya bertanya, “Kerana apa wanita dunia lebih utama daripada mereka?” Baginda s.a.w menjawab, “Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuning-kuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas. Mereka berkata, ‘Kami hidup abadi dan tidak mati, kami lemah-lembut dan tidak jahat sama sekali, kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali, kami redha dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya’.” (H.R. Ath-Thabrani)

    ReplyDelete

Apa Pendapat anda?