January 15, 2012

Profesionalisme dalam muamalat : penilaian hubungan antara lelaki dan perempuan

Secara jujur, saya mula-mula dengar perkataan ‘ikhtilat’ adalah di Jordan. Waktu saya mula-mula dengar, dalam hati saya, “apa benda tu?ikhtilat?”.

Waktu mula-mula saya datang, masih lagi saya ingat, ada kempen “ikhtilat sifar”. Mungkinlah ada justifikasi pimpinan waktu itu untuk buat kempen tersebut.

*******

Jadi sekarang bagaimana?

Bagaimana pendirian PERMAI?

Kami sebenarnya sebagai pimpinan banyak mendengar pandangan bahawa isu ikhtilat ini tidak diterangkan secara jelas, dan ada juga yang kata, asyik memberitahu perkara yang dilarang, tapi yang dibolehkan (alternatif) tak pula dinyatakan.

Baiklah.

Sewaktu kami berhempas pulas memikirkan dan merancang dasar-dasar PERMAI, kami juga melihat isu ini.

Pada pandangan saya, ikhtilat adalah hanya sebahagian daripada masalah yang lebih besar yang kita hadapi. Masalah pokoknya ialah perhubungan antara lelaki dan perempuan.

Waima yang berlebih dalam perhubungan atau pun yang membataskan perhubungan atas justifikasi yang salah, kedua-duanya perlu diselesaikan, dan kedua-duanya adalah isu profesionalisme dalam muamalat.

Suka saya menyatakan beberapa jenis perhubungan antara lelaki dan perempuan di Irbid (menurut pemerhatian saya).

1) Atas dasar kerja

2) Atas dasar belajar

3) Atas dasar dakwah

4) Atas dasar cinta

Semua jenis perhubungan di atas, perlu diuruskan dengan baik, dan perlu diuruskan secara profesional.

Bila anda berhubung atas dasar kerja, jalankan tanggungjawab sebagai orang yang bekerja.

Bagi lelaki, pastikan anda percepatkan tugasan yang penting dan prioritikan gerak kerja yang utama. Jangan lengah dan jangan menambahkan perkara yang tak berkaitan dalam kerja. Hormati pandangan pasangan kerja anda, dan hormati pendirian-pendiriannya yang sensitif dan tak boleh dicerobohi, sebagai contoh, ada perempuan yang tidak cenderung untuk berhubung pada waktu-waktu tertentu.

Jangan cuba campurkan hal peribadi dalam gerak kerja. Bincangkan dengan elok apa yang boleh dan apa yang tak boleh (pantang larang individu dalam bekerja) dan bagaimana untuk bersama mengefisyenkan gerak kerja agar matlamat tugasan itu selesai.

Bagi perempuan, jika ada pendirian yang agak tegas, dan jika anda tidak melonggarkan sedikit pendirian anda itu maka akan memberi kesan kepada gerak kerja, saya nasihatkan cuba pertimbangkan semula. Beri masa dan ruang kepada lelaki dan beri keselesaan untuk lelaki bekerja.

Jika tiada bukti bahawa lelaki cuba untuk menceroboh hal peribadi anda, maka janganlah mulakan sangkaan yang bukan-bukan. Percayalah kepada pasangan kerja anda, kerana lelaki perlukan kpercayaan untuk terus mudah bekerja. Jika ada perkara yang salah, tanyakan dulu sebab, sebelum anda terus menyalahkan dia, kerana lelaki sifatnya agak defensif. Kalau salah waktu, akan merosakkan perhubungan kerja anda.

Jika atas dasar belajar dan dakwah, maka saya kira formulanya lebih kurang terpakai seperti di atas.

Jika atas dasar cinta, saya tak berani mengulas panjang, Cuma nasihat saya, kalau benar anda jatuh hati, maka uruskan juga dengan profesional. Jangan ambil langkah lompat-lompat, dan tanyalah pada orang yang layak iaitu pasangan yang sudah berkahwin, kerana mereka lebih tahu kerana mereka juga telah melalui fasa tersebut. Dapatkan nasihat daripada mereka, dan saya percaya mereka akan berbesar hati membantu anda.

Cinta bukan isu yang kecil. Cinta ini melibatkan maruah, jiwa dan emosi. Mereka yang sudah berkahwin lebih memahami dalam menguruskan perkara ini, terutama berkaitan kerahsiaan dan privasi.

Adapun, perkara yang anda lakukan secara sembunyi-sembunyi, moga-moga Allah menyelamatkan anda.

Segala perkara yang saya sebutkan ini adalah apa yang PERMAI ingin bawa, iaitu profesionalisme dalam muamalat (interaksi).

Kita perlu lebih sebarkan kefahaman dan kesedaran melalui pendidikan. Pendidikan itu melalui PINTAR, program-program dan tulisan seperti ini. Kita tidak akan menggunakan kekerasan dan paksaan melalui undang-undang untuk mengatasi masalah perhubungan yang dilakukan secara tersembunyi, tapi kita akan mengatasinya melalui pendidikan yang saya sebut sebelum ini.

Bersama mengamalkan profesionalisme dalam muamalat.

Muamalat terjaga, maruah terpelihara, hasil berganda.

PERMAI Paksi Komuniti.

1 comment:

  1. Tambah skit bleh?
    Kalau hubungan atas dasar kejiranan...
    Maka blehlah brtukar mkanan skurang2nya 3 bulan skali...

    ReplyDelete

Apa Pendapat anda?