Saya sebenarnya tidak gemar untuk asyik membicarakan perkara yang sama berulang-ulang kali. Tapi oleh kerana Tuhan itu menyuruh manusia memberitahu kebenaran, maka saya perlu kemukakan apatah lagi dalam keadaan manusia yang dilanda kekeliruan.
Kenapa saya tidak menyokong ISMA Jordan dahulu?
ISMA Jordan adalah satu pertubuhan berorganisasi yang melibatkan warga Malaysia, tapi belum didaftarkan di bawah kedutaan mahupun EMJ mahupun dengan kerajaan Jordan (sebelum ini).
Maka semestinya PERMAI yang bernaung di bawah MPPMJ yang bernaung di bawah EMJ dan kedutaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil risiko memulakan hubungan kerjasama dengan sesuatu pertubuhan yang tidak berdaftar dengan pihak berautoriti (kedutaan atau kerajaan Jordan).
Seringkali hujah bahawa NGO di Malaysia yang berdaftar bawah Registrar of Society (ROS) berhak menubuhkan cawangan di luar negara, maka dengan itu ISMA Jordan adalah dengan sendirinya dikira sebagai cawangan NGO dari Malaysia, dan dikira sah di sisi undang-undang.
Ini adalah satu kekeliruan. ROS di Malaysia tertakluk dengan Akta Pertubuhan 1966, dan apa-apa sahaja perkara berkaitan perlembagaan Malaysia, bilamana kita keluar sahaja dari sempadan negara, maka akta itu tidak lagi terpakai. Ini pengetahuan umum. Jadi sebarang pertubuhan berorganisasi di luar negara yang ingin mengesahkan kewujudannya perlulah berdaftar dngan kedutaan atau berdaftar mengikut undang-undang negara tersebut.
Maka akibat dari kesalahfahaman dan kekeliruan ini, lahir beberapa kali sikap dan persepsi bahawa ISMA Jordan telah sah dan boleh melakukan aktiviti secara zahir dan terang-terangan menggunakan nama ISMA Jordan.
Maka saya sebagai pimpinan persatuan sesekali tidak boleh menerima sikap sebegini, apatah lagi kadang-kadang perkara sebegini melibatkan soal keselamatan dan kepentingan umum yang bukan boleh dipandang enteng.
Kenapa saya sokong ISMA Jordan sekarang?
Setelah melalui pelbagai proses perbincangan, analisis dan penelitian, maka ISMA Jordan diiktiraf di bawah MPPMJ. Bermaksud bahawa ISMA Jordan berada di bawah naungan MPPMJ dan secara prinsipnya ISMA Jordan adalah sahabat PERMAI. Sebagai salah seorang pimpinan dalam institusi besar MPPMJ, maka saya perlulah bersikap terbuka dalam menerima keluarga baru MPPMJ.
Soal kewujudan sesebuah pertubuhan, saya kira itu adalah hak manusia yang bermasyarakat. Kita tidak boleh nafikan hak mereka untuk wujud selagi mana pertubuhan itu tidak mendatangkan mudharat, dan memberi manfaat.
Manakala, dalam konteks Jordan pula, saya melihat ada faktor tambahan relevannya kewujudan sesuatu pertubuhan iaitu perlulah mematuhi dasar MPPMJ dan EMJ, dan menghormati serta tidak mengambil peranan persatuan atau badan sedia ada.
Maka jika wujudnya kesemua perkara ini, maka tidak patut kita menafikan kerelevanan wujudnya sesuatu pertubuhan itu di Jordan. Kerana itu adalah hak sebuah masyarakat. Saya percaya, insya-Allah ISMA Jordan akan memberi komitmen dalam perkara tersebut.
Proses perbincangan dan keterbukaan EMJ
Sebenarnya beberapa kali perbincangan dan perjumpaan telah dibuat dengan EMJ, dan saya kira EMJ telah mempertimbangkan sebaiknya hujah dari kedua-dua belah pihak. Maka keputusan yang diambil ini ialah win-win situation, ISMA Jordan diiktiraf, tapi tidak lari dari naungan MPPMJ sebagai badan induk.
Pungutan suara dan demokrasi
Prinsip dalam persatuan, tidak semua dasar persatuan perlu diputuskan melalui pungutan suara dan undi semua ahli. Pendapat saya yang dhaif ini, dasar persatuan yang memberi kesan secara langsung dan drastik kepada semua ahli, maka perlulah mendapatkan pungutan suara, sebagai contoh yuran persatuan.
Pengiktirafan ISMA Jordan pada saya tidak pun memberi kesan langsung yang drastik serta memudharatkan kepada semua ahli apatah lagi ISMA Jordan bukannya satu PZ tambahan. ISMA Jordan adalah pertubuhan yang pendaftarannya adalah pilihan, dan membawa agenda dakwah. Hakikatnya belum tentu semua ahli faham betul-betul situasi dan memahamkan isu ini kepada semua ahli pula bukan perkara yang mudah.
Namun sebagai pimpinan, bukanlah bermaksud saya tidak mempertimbangkan pandangan ahli. Ruang Open Talk FB bukan sekali disebut isu ISMA Jordan dan NGO. Ruang Program Open Talk juga ramai yang telah memberi pandangan. Ada juga yang saya dapatkan pandangan dari ahli-ahli biasa secara terus. Maka idea-idea dan justifikasi anda sentiasa dinilai dan dibawa dalam perbincangan.
Bidang tugas ISMA Jordan
Ini adalah satu perkara yang sesetengah dari kita khuatir. Risau ISMA Jordan mengambil peranan persatuan zon. Saya tak rasa begitu, insya-Allah. Apa pun, perkara ini akan ada perbincangan lanjut antara ISMA Jordan dengan MPPMJ, maka saya tak mahu memberi ulasan.
Apapun ISMA Jordan tetap punya bidang kuasa yang tidak terlampau bebas kerana hakikatnya tidak semua dasar yang diminta oleh ISMA Malaysia boleh dilaksanakan secara terus kerana bila berada di Jordan, maka sebarang perkara tertakluk kepada keizinan dan persetujuan EMJ, dan saya yakin dan percaya bahawa pihak EMJ semestinya akan mempertimbangkan sesuatu perkara dengan teliti mengikut kesesuaian setempat sebelum memberi persetujuan.
PERMAI ada pentas dan peranan sendiri
ISMA Jordan bukan Persatuan Zon, maka saya tak perlu risau akan tergugatnya PERMAI. ISMA Jordan juga bukan saingan PERMAI, tapi adalah sahabat dari kategori berbeza bawah MPPMJ, sepertimana PERMAI bersahabat dengan Kelab Peguam Muda atau Badan Kebajikan Anak Negeri.
Keahlian ISMA Jordan adalah pilihan. Manakala keahlian PZ adalah automatik. PZ dan ISMA Jordan adalah dua medan yang berbeza peranan, tapi tidak mustahil untuk menjalinkan sinergi dalam membentuk mahasiswa Malaysia yang unggul dan membentuk komuniti yang harmoni, dalam keadaan masing-masing menghormati peranan masing-masing.
Sebagai contoh, mustahil jika ISMA Jordan pula yang menguruskan dan mencampuri urusan Sambutan Pelajar Baru (diketahui bahawa SPB adalah peranan PZ), dan begitulah juga mustahil jika PZ ingin menganjurkan program khusus untuk ahli ISMA bermodulkan agenda ISMA, tapi tidak mustahil jika ada tokoh ISMA Malaysia yang dijemput ke Jordan atas jemputan ISMA Jordan membuat program perkongsian untuk semua atas kerjasama ISMA Jordan dan PERMAI.
NGO lain yang ingin berdaftar?
Timbul satu lagi persoalan, bagaimana jika ada kumpulan lain (terutama yang ada kaitan dengan NGO di Malaysia) ingin juga berdaftar? Tidakkah ini akan melenyapkan peranan persatuan?
Secara peribadi, saya cadangkan tiga perkara ini untuk dijadikan rujukan.
1) Mereka tidak memainkan peranan sebagai badan pelajar.
2) Membawa manfaat dan tidak membawa keburukan kepada ahli persatuan.
3) Memperakui, bernaung dan membantu MPPMJ sebagai badan induk pelajar, menghormati dan tidak melanggar dasar MPPMJ.
Maka insya-Allah jika 3 prinsip asas ini dirujuk, berapa banyak pertubuhan yang berkait dengan NGO pun berdaftar, insya-Allah tidak akan melenyapkan peranan persatuan sedia ada serta dapat diuruskan dengan baik.
Juga, hakikatnya bukanlah setiap pertubuhan yang ingin berdaftar itu pasti diterima. Mereka perlulah melaui proses perbincangan dengan MPPMJ dan juga EMJ sebelum diluluskan.
Prinsip keadilan pemimpin
Seorang pemimpin yang baik bukanlah menghalang kepelbagaian, tapi menguruskannya dengan baik dan mengekalkan kesatuan.
Juga, berlaku adil itu adalah tanggungjawab yang wajib bagi seseorang yang telah diberikan amanah. Kepada sahabat-sahabat lain, janganlah kerana kita pernah berselisisih, atau kita tidak bersetuju dengan ideologi sesuatu pihak, menghalang kita dari berlaku adil.
Sikap dan mentaliti
Di kesempatan ini, saya mengajak sahabat-sahabat semua agar duduk renung sebentar, bermuhasabah, agak-agak sejauh manakah kita telah mengguriskan hati saudara-saudara kita? Kita muhasabah kembali, agak-agak apakah benar apa yang kita tulis, apa yang kita ucap? Atau hanya menambah dosa?
Kita tanya diri kita, berita yang kita dengar, dari orang yang sebenar atau dari mulut orang lain? Belajar menganalisis, mengkaji sebelum kita melatah. Responlah dengan berhikmah.
PERMAI Paksi Komuniti
Kita Semua MPPMJ
setuju dgn artikle ni !
ReplyDeletetapi agak hairan kerana bidang tugasnya tak jelas.selalunya tjuan utama penubuhan/pnmbahan ssuatu dlm organisasi diambilkira oleh faktor besar sperti peranannya dan kemaslahatannya kpd umum. cth : unit zakat ditubuhkan krn perlu ada yg mgurus dan mgutip zakat-jadi hal itu xdpt disangkal lg.
utk mredakan plbagai konklusi, sy fkir apa yg perlu ditekankan disini adlh peranan isma itu sendiri yg mybabkn keistimewaannya diiktiraf bbnding NGO dakwah yg lain ^_^