January 13, 2012

Men from Mars, Women from Venus!

Bulan ini giliran saya menulis 'Book Preview' Bulanan.

Klik sini untuk versi PDF.

Sepanjang dua hari berfikir, buku yang mana satu daripada koleksi buku yang sedang saya baca harus saya tuliskan. Antara 'Antara Dua Umar', 'Politik Gaya Khulafa ar-Rasyidin', 'Great Women in Islam' atau buku yang di atas ini - 'Men from Mars, Women from Venus'.

Pada mulanya agak takut saya untuk memilih buku ini, bimbang dikatakan sudah dekat mahu dengan gerbang perkahwinan. Buku yang dikatakan wajib baca oleh Ustaz Hasrizal buat sesiapa yang mahu melangkah ke gerbang perkahwinan - untuk memahami bahasa lawan jantina. Hakikatnya, saya memilih membaca buku ini melihat kepada perspektif yang berbeza, saya mahu memahami bahasa lelaki seorang adik!

Lama-kelamaan, saya menyedari bahawa intipati buku ini, sebenarnya juga turut membuat saya lebih mudah berkomunikasi dengan lawan jantina saya terutama dalam melakukan gerak kerja persatuan. Ya, mungkin buku ini adalah lebih tepat untuk bakal suami dan isteri melalui konteks dan contoh yang ditulis, namun saya berpendapat yang mana yang baik, bolehlah diambil, yang buruk kita jadikan sempadan, bukan? 

Komunikasi

Antara kunci sesebuah hubungan adalah komunikasi berkesan, begitu juga dalam sesuatu gerak kerja persatuan. Tapi, ini bukanlah bermaksud, buku ini turut memberi contoh yang tepat dalam konteks ini, cuma isi-isi penting seperti kaum lelaki ini ada masa akan ke 'gua' memberi saya satu 'pujukan' andai ada masa mesej  atau panggilan tidak dibalas atau dijawab. Benar, jika mesej atau panggilan tidak dibalas atau dijawab serta merta, mereka mungkin di dalam 'gua' ketika itu. Tapi saya yakin, tunggulah sehari, selepas itu pasti dibalas, insyaAllah.

Ada juga keadaan yang mana, kita orang perempuan mudah terasa hati. Antaranya penggunaan-penggunaan istilah yang sebenarnya biasa bagi lelaki, tapi kedengaran kasar pada perempuan. Misalnya, istilah 'kurang ajar' atau 'Gelabah la kau ni'. Namun, hal ini bukanlah pada semua orang, bergantung juga pada pembawaan individu.

Selain itu, pada masa yang sama saya juga lebih memahami psikologi diri sendiri. Kenapa ada masa terasa sangat down, segala kerja rasa malas, telefon rasa malas mahu dijawab. Tapi, esoknya, eh, sudah bersemangat semula!

Secara tidak langsung, sebenarnya, dalam memahami maksud bahasa dan komunikasi jantina berlawanan, kita telah melancarkan urusan kerja kita, di samping meletakkan dzon(tanggapan) di tempat sebaiknya - husnu dzon. 

Dan pastilah, kerana kita Muslim, tidaklah kita mengikut 100% seperti yang digariskan. Tambahan pula, dalam komunikasi berlawanan jantina, pastinya ada sumber bacaan yang memberi rujukan komunikasi antara lelaki dan perempuan, atau lebih PERMAI lagi - syabab dan akhawat - menurut perspektif Islam yang lengkap. Misalnya, beberapa perkara yang perlu di'tunduk'kan sebelum berkomunikasi -  Hati & Pandangan. Tundukkan hati dengan niat, tundukkan pandangan dengan ketegasan. 

Akhirnya, buat warga PERMAI, cuti-cuti jugak, bacaan menggambarkan siapa anda! Bak kata Wardina Safiyyah, "You are what you EAT, you are what you READ!" Jangan jadikan diri kita mahasiswa buku teks semata-mata. Kekangan masa bukan halangan, biar lambat, asal ada..

Selamat bercuti semua!

No comments:

Post a Comment

Apa Pendapat anda?