November 29, 2011

Lega

Lega,alhamdulillah.

Saya baru pulang dari pertemuan dengan Usamah, anak kepada Almarhum Abu Usamah.

Berjumpa dengan Suhaib,yang juga anak Almarhum.

Berbincang dan bertanya khabar dengan mereka berdua. Saya lega, bukan kerana apa, tetapi kerana melihat keadaan mereka dan mengetahui khabar Ummu Usamah dan Isra yang juga digelar Susu, semua baik-baik belaka.

"Oleh kerana ayah kami seorang yang baik, maka Allah telah meringan dan mempermudah ujian ini buat kami. Apa yang kami sangkakan akan jadi sungguh berat, telah dapat kami lalui dengan mudah. Kami bimbangkan ibu, tetapi ibu kini telah redha. Kami bimbangkan Susu, tetapi Susu dengan senyuman mampu berkata 'Biarlah,ayah sudah di syurga,maka biarkan ayah di syurga'."

Sedikit kata-kata Usamah ini sudah mampu membuat saya menghela nafas sedikit ringan dari sebelumnya apabila setiap kali melalui atau menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan saya dengan Almarhum Abu Usamah.

Sebelum ini,keadaan keluarga Abu Usamah lah yang menjadi kerisauan saya.Tipu jika saya katakan bahawa saya adalah orang yang paling banyak berurusan dengan Almarhum,kerana terlalu ramai pelajar-pelajar Malaysia yang 'bersahabat' dan 'berayah' kan Almarhum.

Tetapi entah mengapa,pemergian Almarhum terlalu banyak memberi kesan kepada saya. Setiap kali saya menguruskan hal-hal sakan, saya seolah-olah terbayang wajah Almarhum yang berurusan. Seolah-olah masih segar wajahnya dalam kotak fikiran saya.

Teringat detik bagaimana saya dimaklumkan tentang kematian Almarhum. Saya menerima panggilan telefon dari seorang sahabat AMM, memberitahu tentang berita ini,katanya bersumberkan group FB sakan kuning yang mereka wujudkan satu ketika dahulu.

Saya tidak percaya. Lekas saya mencari nombor Almarhum dan terus saja cuba menelefon. Tiada yang menjawab, malahan telefon ditutup. Saya seolah-olah mati akal,tapi saya masih tidak percaya. Dan akhirnya setelah menatap wajah jenazah Almarhum sebelum disolatkan, saya akur.

Saya teringat kisah Sayyidina Umar,sahabat-sahabat Rasulullah yang lain,dan juga umat Islam yang tidak percaya akan kewafatan Rasulullah. Dan saya tahu, itu terlalu jauh untuk dibandingkan dengan apa yang berlaku.

Banyak sungguh perkara yang saya pelajari.

Antaranya,tidak rugi bersusah payah mendidik anak-anak dengan cara yang terbaik,kerana satu masa kelak, anak-anak yang 'menjadi' itulah harta yang paling berharga buat kedua ibu bapa terutama setelah meninggal dunia.

Juga,orang-orang soleh banyak meninggalkan kesan kepada masyarakat. Akhlak mulia, luhur budi dan kata-kata yang baik benar-benar mampu merubah orang sekeliling dengan qudwah hasanah.

Dan yang terakhir, kematian itu sesuatu yang pasti. Ia boleh datang bila-bila masa sahaja,tanpa disangka-sangka.

إنك ميت وإنهم ميتون

Ayat surah az-zumar ini mengingatkan "saya dan kalian akan mati".

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَما الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ

Ayat ini pula, mengingatkan kita bahawa setiap insan akan mati dan akan diberi balasan pada hari qiamat. Dan barangsiapa dilepaskan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga,dia 'menang besar'. Dan apa sangatlah dunia ini kecuali perhiasan yang menipu, dan permainan.

"Kematian itu peringatan buat yang masih hidup"

Sejak kematian orang-orang yang tidak saya sangka-sangka, dengan asbab kematian yang tidak saya sangka-sangka, dan masa yang tidak saya sangka-sangka, saya sangat terasa kata-kata ini terkena pada saya.

Mari berdoa sebentar.

* اللهم أجعل خير عمرى آخره وخير عملى خواتمه وخير أيامى يوم ألقاك فيه *

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umur kami di penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami di pengakhirannya, dan sebaik-baik hari kami adalah hari di mana kami direzekikan dapat 'bertemu' dengan Mu"

Amin.
Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment

Apa Pendapat anda?