November 25, 2011

Tahun baru

Tahun baru. Kata orang, tahun baru itu jangan dibiarkan pergi tanpa erti, paling-paling bisikkan ia;
"Semoga kau menjadi lebih baik."

Dan pasti dibalas kembali bisikan itu dengan susupan rasa atau mudahnya - keazaman.

Dua tahun dulu, sebelum melangkah ke bumi Isra' ini, saya ada menulis, dalam satu diari khas (yang entah bagaimana, hilang) tapi masih saya ingat.

10 Perkara yang Mesti Dicapai Bila Grad

Terasa macam anak-anak sekolah, masih menulis pada kertas saban tahun target dan keazaman tahun tersebut. Ditampal pula di dinding bilik, dibaca dan tenung sambil berfikir saban hari - mana yang dah, mana yang belum.

Tapi hakikatnya, itulah sumber keazaman saya. Bisikan halus buat diri saban hari dan membiarkan rasa menyusup, rasa yang kadang ada naik turun - keazaman.

Salah satu perkara yang saya nak capai ialah sifat sabar. Sabar dalam mengharungi susah kehidupan juga sabar dalam melayan karenah manusia. Ya, pastinya karenah manusia, kerana saya bakal berdepan dengan ribuan manusia. Masing-masing dengan personaliti dan pemikiran berbeza, maka saya fikir sabar itu sangat penting.

Namun, hakikatnya sabar itu bukan mudah kerana kesabaran yang paling cantik ialah apabila kita marah, ditelan marah itu, ditelan tanpa ada sebarang riak terpamer, yang ada cuma secebis senyuman. Buat penyejuk diri, sebenarnya.

Tak kacau orang lain, so


Kenapa perlu buat begitu dan begini? Apa salah hidup tanpa perlu memikirkan hati dan kepentingan manusia lain, asalkan 'aku tak kacau orang'? Apa salah sekadar ikut 'flow'?

Tak salah, tapi rugi, yang amat. Dan lebih utama, kita sebenarnya tak yakin pada diri. Tak yakin yang kita sebenarnya mampu mencapai sesuatu yang besar.

Teringat saya semasa lawatan Tun Mahathir ke Amman, berpusu-pusu manusia berebut mahu memberi nama, mahu berjumpa Tun. Dan saya tahu, dalam ramai itu, ada seorang yang berbisik "Aku bakal jadi insan yang semua orang nak jumpa, tak perlu aku berebut, Tun yang bakal mencari aku kelak."

Entahlah apa yang orang lain pandang, tapi saya gelar ini keyakinan diri. Dan keyakinan ini tak datang tanpa target dan keazaman, bukan?

Keazaman untuk menyumbang, untuk mengubah manusia ke arah yang lebih baik walau apa aspek sekali pun. Jika muzik, teruskan bermain, alunkan nada sebaiknya, beri manusia ketenteraman yang lahir dari alunan alat muzik kita. Jika masakan kita sedap, panjang-panjangkan tangan menghulur, bagi orang lain merasa enaknya. Walau apa jalan, pasti ada kebaikan yang boleh kita beri, cuma perlu difikir lagi, di sisi Tuhan, masihkah ia dibilang sebagai kebaikan juga? 

Lainlah, kalau anda memilih untuk kekal 'melukut di tepi gantang'..

Tiupkan inspirasi!

Akhirnya, apa target anda? Anda juga punya 'bisikan-bisikan' yang sama, atau berbeza? Mari sebarkan semangat dan keazaman, tiupkan juga kawan-kawan bisikan-bisikan inspirasi. Kerana kata Ketua Batch saya, "Kita berkawan hingga ke syurga".

Salam maal hijrah warga PERMAI!

No comments:

Post a Comment

Apa Pendapat anda?