Belum lagi saya reda sedih dengan pemergian sahabat saya ke Malaysia, tiba-tiba sahaja saya dikejutkan dengan berita pemergian Abu Usamah ke rahmatullah.
Teringat sewaktu perjumpaan terakhir dengan beliau :
"Tidak ada apa yang penting pada harta, yang lebih penting ialah amal soleh"
Sebenarnya perpisahan itu sudah pasti. Sama ada kita yang pergi, atau orang di sekeliling kita. Persoalannya bukan bila, tapi adakah kita cukup bersedia?
Jadi apa yang kita tinggalkan untuk manusia lain bila kita sudah tiada?
Kadang-kadang, mungkin hanya seukir senyuman, akan diingati sampai bila-bila. Boleh jadi hanya dengan senyuman, akan memberi ketenangan hati pada yang melihatnya, juga boleh jadi tangisan bila dikenang semula ketika yang tersenyum itu sudah tiada.
Itu mungkin kesan senyuman. Senyuman itu boleh jadi manfaat. Apatah lagi kalau lebih dari senyuman yang kita berikan pada manusia. Pastinya akan lebih bermanfaat.
Untuk pengetahuan, setiap pagi, pelajar klinikal (terutama tahun 4) perlulah memilih kes dari mana-mana pesakit dan mendapatkan maklumat daripadanya, malah perlu juga memeriksa secara am sakitnya itu untuk dibentangkan kepada doktor.
Setiap pagi.
Jadi, secara amnya, setiap pagi, apa yang ada dalam fikiran saya, kena ambil kes. Hari ni, kena ambil kes, yang penting, aku dapat bentang kes dengan terbaik depan doktor nanti, dan aku dapat menggarap kemahiran dan pengetahuan aku.
Ya. Yang penting, dapat bentang dengan baik depan doktor, dapat garap kemahiran aku, dapat tambah pengetahuan aku. Ya. Semuanya aku. Akuisme.
Cumanya, kadang-kadang saya terlupa, saya ni nak merawat penyakit, atau merawat pesakit?
Kadang-kadang saya terlupa, pesakit itu manusia. Yang punya banyak masalah di belakangnya.
Orang yang sedang terlantar di hospital, sakit kemalangan, boleh jadi keluarganya meninggal, tidak ada tempat pergantungan selepas keluar dari hospital, tak tahu bagaimana nak membayar pengajian, mungkin juga masa depannya sudah gelap kerana anggota yang tidak sempurna, dan boleh jadi 1001 masalah lagi yang difikirkannya, tapi kita datang, yang kita tahu nak ambil maklumat kes, untuk kita.
Hakikatnya, kita sebagai doktor, biarpun kita tak dapat nak selesaikan kesemua masalahnya, tapi biarlah kehadiran kita, menjadi penyeri kepada pesakit, biarpun sementara.
Kita sebagai doktor, biarpun kita tak dapat nak selesaikan kesemua masalahnya, tapi biarlah kehadiran kita menjadi penawar duka, dek kemesraan kita.
Kita sebagai doktor, biarlah kita fikir pesakit dulu, baru diri kita.
Kita sebagai doktor, punya tanggungjawab besar, untuk menjadikan kehidupan insan lain lebih baik.
Maka jadilah doktor yang bermanfaat, untuk semua manusia.
No comments:
Post a Comment
Apa Pendapat anda?