Jika anda mengambil jurusan perubatan atau pergigian di Jordan, hanya ada satu universiti iaitu Jordan University of Science and Technology (JUST). JUST ini terletak di Irbid (salah sebuah daerah di Jordan).
Jika anda menyambung pengajian di Universiti Yarmouk, maka untuk pengetahuan, Universiti Yarmouk juga terletak di Irbid.
Maka artikel ini ingin memberitahu beberapa perkara yang perlu anda bersedia (dan mungkin jarang-jarang anda ketahui) jika anda ingin belajar di Irbid.
Sikap masyarakat
Positif : Masyarakat di sini sebenarnya agak mesra dan mudah bergaul, dan mereka tidak diskriminasi bangsa seperti di negara-negara barat lain. Anda boleh dapati ramai yang baik-baik dan boleh diharap. Jika anda rapat dengan mereka, mereka akan melayan anda sama seperti rakan-rakan mereka yang lain.
Negatif : Kepayahan komunikasi dengan mereka, kita orang Malaysia lebih selesa dengan sesama Malaysia sebab pertuturan yang mudah dan banyak topik perbincangan yang sama.
Bila kita berurusan dalam sesetengah perkara, kadang-kadang agak menyusahkan kerana sikap mereka yang berlengah-lengah dan malas, terutama apabila berurusan dengan pejabat awam, sama ada universiti atau pejabat kerajaan.
Mereka mudah berjanji, kadang-kadang ditepati dan sebahagian waktu lain tidak. Mereka juga pada sebahagian keadaan suka ambil kesempatan atas ketidakcekapan orang Malaysia dalam berurusan, terutama bila melibatkan urusan perniagaan.
Kalau anda berjalan di jalanan, tak sah kalau anda tidak pernah dilemparkan dengan kata-kata yang agak menghina, dan anda tidak suka dengan perkataan tersebut. Tapi tidaklah selalu, cuma sebahagian waktu.
Mereka ini sangat ramai yang merokok, sama ada dari kalangan budak sekolah sehinggalah dewasa. Mereka anggap merokok itu biasa sehinggakan mereka pada sesetengah keadaan tidak menghormati orang lain yang tidak merokok. Mereka akan merokok dalam bangunan atau dalam kenderaan atau mana-mana tempat tertutup.
Keselamatan
Realiti : 5- 10 kes jenayah dicatatkan setiap bulan, sama ada gangguan seksual, kecurian, pecah rumah dan lain-lain.
Setakat ini, memang ada langkah-langkah yang diambil oleh persatuan pelajar (Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid atau dikenali sebagai PERMAI) dengan kerjasama pihak kedutaan di sini, namun isu ini masih belum dapat diatasi sepenuhnya.
Ini adalah cabaran terbesar komuniti Malaysia di sini setakat ini.
Kemudahan/fasiliti
Secara umum, Malaysia jauh lebih maju dan bersistem
Pengangkutan utama : bas, coaster atau teksi
Kemudahan mencari buku rujukan adalah mudah, sama ada di Irbid atau di Amman
Ilmu tambahan
Sebenarnya ini kelebihan belajar di timur tengah. Anda boleh dapati ramai ilmuan-ilmuan hebat di sini, dan sumber-sumber ilmu yang melimpah. Bahasa Arab, Qiraat Al-Quran, I’jaz AL-Quran, Tafsir, Hadis dan pelbagai lagi boleh didapati di sini. Namun, anda perlu mencari dan berusaha, pengorbanan perlu dibuat.
Pensyarah universiti
Pensyarah di Jordan University of Science and Technology adalah kebanyakannya graduan universiti di Amerika Syarikat atau UK. Ada juga dari negara Eropah lain seperti Germany, dan ada juga dari universiti Timur Tengah seperti Universiti Baghdad. Tenaga pengajar dalam kelas untuk pra-klinikal, hampir semua mempunyai ijazah phD. Tenaga pengajar klinikal pula, setiap hari round bersama pakar.
Pensyarah di Universiti Yarmouk pula, terutama di kuliah syariah, kebanyakannya juga mempunyai ijazah kedoktoran. Ilmu mereka sangat tinggi dan dihormati, dan mereka juga mempunyai pendekatan dan pemikiran yang berbeza-beza.
Belajar menguruskan kehidupan dan belajar tentang manusia
Ini manfaat umum yang anda akan dapat bila belajar di luar negara, di mana-mana sekali pun. Anda tiada keluarga dan tiada ibu bapa yang menentukan hidup anda. Anda yang aturkan hidup anda sendiri. Anda ingin jadi sesiapa pun, tiada siapa yang dapat halang. Apa yang anda lakukan, anda sendiri yang akan terima kesan, dan akan membentuk diri anda pada masa hadapan.
Di luar negara ini, anda akan lebih kenal manusia, siapa kawan siapa lawan, siapa kawan yang nak ambil kesempatan, siapa kawan yang ingin beri bantuan.
Anda akan lebih kenal masyarakat Arab, yang dari Jordan, yang dari Palestin, yang dari negara teluk, masing-masing ada sikap dan perangai tersendiri. Anda akan lebih tahu dunia sebenar, anda akan dapat lebih melatih diri untuk bersabar.
Jangkaan biasa bila belajar di timur tengah, antara fakta dan dongengan :
Untuk pelajar bidang ilmu agama :
1) Akan dapat menimba ilmu dengan tokoh-tokoh hebat dalam bidang agama
Benar, dan tokoh-tokoh agama di sini sangat pakar dan dihormati. Anda boleh menimba ilmu dengan mereka sama ada di universiti atau di kuliah-kuliah luar universiti sama ada di masjid atau di Amman. Mereka sangat tinggi ilmunya, banyak rujukannya, dan mereka mempunyai pemikiran yang berbeza-beza antara satu sama lain.
Untuk mana-mana pelajar secara umum :
1) Dapat mantapkan kemahiran bahasa arab
Benar, jika anda berusaha. Malahan, saya kira sekurang-kurangya pelajar di sini dapat asas bahasa arab kerana kebergantungan kepada masyarakat tempatan dalam urusan seharian itu masih tinggi, terutama dalam urusan jual beli, kerana di sini, masih belum banyak perniagaan orang Melayu, seperti di Mesir.
Untuk pelajar perubatan :
1) Ingin menuntut ilmu di bumi para anbiya’ dan tamadun Islam kerana di sini dahulu wujudnya tokoh-tokoh perubatan Islam.
Ini dongengan. Sistem perubatan di sini tidak ada pun disusun dengan silibus perubatan Ibnu Sina atau Az-Zahrawi. Sistem perubatan/pergigian di sini disusun mengikut sistem perubatan moden iaitu sistem yang diamalkan di Barat, sama ada di UK atau Amerika Syarikat.
2) Dapat menimba ilmu perubatan dan dalam masa yang sama dapat menimba ilmu agama terutama fiqh perubatan untuk diaplikasikan sewaktu kerja nanti
Ini bergantung. Tapi situasi begini tidak wujud dalam sistem pembelajaran di sini. Sistem pembelajaran di sini tidak pun dikaitkan dengan hakikat ciptaan Tuhan, hakikat penciptaan manusia, dan tidak ada pun subjek untuk fiqh perubatan. Kalau anda mengharapkan anda akan jadi doktor perubatan yang tahu berkaitan hukum hakam dengan hanya belajar di universiti, anda bermimpi.
Kalau anda nak begitu, tidak mustahil, tapi anda perlu berusaha secara luar biasa dengan menimba ilmu di luar universiti, menimba ilmu tersebut dari asal, iaitu anda perlu belajar dahulu prinsip-prinsip ilmu fiqh dan sebagainya, dan anda perlu kaji sendiri isu-isu perubatan, kerana subjek fiqh perubatan tidak ada di sini.
Semoga dengan artikel ringkas ini, dapat menyediakan para pelajar dengan persediaan untuk menghadapi cabaran yang mendatang.
No comments:
Post a Comment
Apa Pendapat anda?