November 29, 2011

Lega

Lega,alhamdulillah.

Saya baru pulang dari pertemuan dengan Usamah, anak kepada Almarhum Abu Usamah.

Berjumpa dengan Suhaib,yang juga anak Almarhum.

Berbincang dan bertanya khabar dengan mereka berdua. Saya lega, bukan kerana apa, tetapi kerana melihat keadaan mereka dan mengetahui khabar Ummu Usamah dan Isra yang juga digelar Susu, semua baik-baik belaka.

"Oleh kerana ayah kami seorang yang baik, maka Allah telah meringan dan mempermudah ujian ini buat kami. Apa yang kami sangkakan akan jadi sungguh berat, telah dapat kami lalui dengan mudah. Kami bimbangkan ibu, tetapi ibu kini telah redha. Kami bimbangkan Susu, tetapi Susu dengan senyuman mampu berkata 'Biarlah,ayah sudah di syurga,maka biarkan ayah di syurga'."

Sedikit kata-kata Usamah ini sudah mampu membuat saya menghela nafas sedikit ringan dari sebelumnya apabila setiap kali melalui atau menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan saya dengan Almarhum Abu Usamah.

Sebelum ini,keadaan keluarga Abu Usamah lah yang menjadi kerisauan saya.Tipu jika saya katakan bahawa saya adalah orang yang paling banyak berurusan dengan Almarhum,kerana terlalu ramai pelajar-pelajar Malaysia yang 'bersahabat' dan 'berayah' kan Almarhum.

Tetapi entah mengapa,pemergian Almarhum terlalu banyak memberi kesan kepada saya. Setiap kali saya menguruskan hal-hal sakan, saya seolah-olah terbayang wajah Almarhum yang berurusan. Seolah-olah masih segar wajahnya dalam kotak fikiran saya.

Teringat detik bagaimana saya dimaklumkan tentang kematian Almarhum. Saya menerima panggilan telefon dari seorang sahabat AMM, memberitahu tentang berita ini,katanya bersumberkan group FB sakan kuning yang mereka wujudkan satu ketika dahulu.

Saya tidak percaya. Lekas saya mencari nombor Almarhum dan terus saja cuba menelefon. Tiada yang menjawab, malahan telefon ditutup. Saya seolah-olah mati akal,tapi saya masih tidak percaya. Dan akhirnya setelah menatap wajah jenazah Almarhum sebelum disolatkan, saya akur.

Saya teringat kisah Sayyidina Umar,sahabat-sahabat Rasulullah yang lain,dan juga umat Islam yang tidak percaya akan kewafatan Rasulullah. Dan saya tahu, itu terlalu jauh untuk dibandingkan dengan apa yang berlaku.

Banyak sungguh perkara yang saya pelajari.

Antaranya,tidak rugi bersusah payah mendidik anak-anak dengan cara yang terbaik,kerana satu masa kelak, anak-anak yang 'menjadi' itulah harta yang paling berharga buat kedua ibu bapa terutama setelah meninggal dunia.

Juga,orang-orang soleh banyak meninggalkan kesan kepada masyarakat. Akhlak mulia, luhur budi dan kata-kata yang baik benar-benar mampu merubah orang sekeliling dengan qudwah hasanah.

Dan yang terakhir, kematian itu sesuatu yang pasti. Ia boleh datang bila-bila masa sahaja,tanpa disangka-sangka.

إنك ميت وإنهم ميتون

Ayat surah az-zumar ini mengingatkan "saya dan kalian akan mati".

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَما الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ

Ayat ini pula, mengingatkan kita bahawa setiap insan akan mati dan akan diberi balasan pada hari qiamat. Dan barangsiapa dilepaskan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga,dia 'menang besar'. Dan apa sangatlah dunia ini kecuali perhiasan yang menipu, dan permainan.

"Kematian itu peringatan buat yang masih hidup"

Sejak kematian orang-orang yang tidak saya sangka-sangka, dengan asbab kematian yang tidak saya sangka-sangka, dan masa yang tidak saya sangka-sangka, saya sangat terasa kata-kata ini terkena pada saya.

Mari berdoa sebentar.

* اللهم أجعل خير عمرى آخره وخير عملى خواتمه وخير أيامى يوم ألقاك فيه *

"Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umur kami di penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami di pengakhirannya, dan sebaik-baik hari kami adalah hari di mana kami direzekikan dapat 'bertemu' dengan Mu"

Amin.
Al-Fatihah.

November 28, 2011

Convert a lemon into a sweet drink

Bismillah.
Assalamualaikum semua warga PERMAI !
Semoga sentiasa sihat dalam peliharaan dan kasih sayang Allah :D

Okeh, tajuk saya kali ini saya 'curi' tajuk dari buku "Don't be sad" karangan Dr Aid al-Qarni.
Semoga ade manfaatnya.

Sifat manusia ni (kalau tgk kat diri saya pon sama je) bila ade masalah, terus nak mengeluh dan merapu xtentu pasal. Tak reti nak tengok sebenarnye ape hikmah disebalik tabir semua yang Allah dah rancang dan susun utk kite sehari-hari.

Sebenarnya, semua masalah dan UJIAN itu adalah TARBIYAH. Ambil yang baik2 je, nampak yang positif2 je, barulah hidup bole maju kan? :D

Rasulullah s.a.w dulu, kene berhijrah dari Mekah ke Madinah, sebab semua orang dah menolak Islam di Mekah. Kalaulah Rasulullah s.a.w masa tu terus putus asa, malas dah nak bawa Islam(sbb xramai yang nak terima dakwah Rasulullah waktu di Mekah) mesti Islam tak sampai pada kita sekarang kan?

Sebab itulah, dalam hidup ni kena KREATIF dan POSITIF. Ade masalah, fikir jalan penyelesaian terbaik. Jangan cepat mengeluh dan mengalah. Macam mana nak jadi muslim mukmin sejati kan?

Saya petik sikit kata-kata dari buku tu:
"If you are afflicted with a misfortune, look on the bright side. If someone were to hand you a glass full of squeezed lemons, add to it a handful of sugar. And if someone gives you a snake as a give, keep its precious skin and leave the rest."

"Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal itu baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagi kamu. Allah mengetahui seang kamu tidak mengetahui" (al-Baqarah: 216)

Semua ni terletak pada tangan kita, sama ada nak terus dalam dunia yang asyik nak fikir negatif, pandang semua masalah tanpa jalan penyelesaian, memang akan begitulah kita sampai akhirnya atau sebaliknya. Kita yang tentukan hidup kita macam mana.

Jadi, jom sama-sama, lepas ni kalau ade masalah; (ape jelah masalah kita klu nak bandingkan masalah orang-orang lain kan?) mesti berusaha settlekan dgn cara terbaik disamping pohon doa dan tawakkal pada Allah.

Zaman kita sbg pelajar inilah merupakan zaman yang paling lapang dan zaman utk mencorakkan diri orang kata. Orang yang hebat waktu mudanya, pasti insyaAllah hebat juga waktu tuanya.

Nanti dah kerja, dah kahwin, dah ade anak, lagi lah bertambah-tambah masalah kita kan. Sekarang kita OK, bijak hadapi masalah, sabar dgn ujian, tahu macam mana nak rileks dan tenang, so, insyaAllah esok2 pon kita macam tu.

Tapi, semua ini tak jadi kalau tiada latihan. Practise make perfect! Tahun baru azam baru :)
Hidup kita akan indah dan mudah jika semuanya kerana Allah.



"The happiest man is the one who makes the largest number of people happy!" :DD

November 27, 2011

new tab


Bismillah

apabila disebut mahasiswa universiti, apakah yang selalu ditafsirkan ya?

Kalau di Malaysia, saya membayangkan pelajar yang harinya habis di perpustakaan, malamnya menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah, menunya variasi mengikut restoran yang berdekatan.

Pada hari ini, tafsiran tersebut mungkin tepat, mungkin juga tidak. Kita tidak boleh memukul rata untuk membuat penilaian kepada mahasiswa tersebut. Saya punya cadangan formula untuk mengenali siapa diri kita sebenar dan di manakah tapak kaki kita berpijak.

Adakah kita di medan intelektual ataupun di hamparan yang lain?

mudah.

Apakah yang tersenarai sebagai 'most visited page' dalam New Tab anda




-yang sering mendapat tempat utama



Pilihan Suri Rumah di waktu lapang



-Berita & Isu Semasa




Pilihan ada di tangan kita. Sama ada untuk menjadi manusia yang tinggi daya saing ataupun hanya mengikut arus yang mengalir tanpa berfikir terlebih dahulu. Pilihlah untuk menjadi yang terbaik! Bermula dengan apa yang anda baca.



November 25, 2011

Tahun baru

Tahun baru. Kata orang, tahun baru itu jangan dibiarkan pergi tanpa erti, paling-paling bisikkan ia;
"Semoga kau menjadi lebih baik."

Dan pasti dibalas kembali bisikan itu dengan susupan rasa atau mudahnya - keazaman.

Dua tahun dulu, sebelum melangkah ke bumi Isra' ini, saya ada menulis, dalam satu diari khas (yang entah bagaimana, hilang) tapi masih saya ingat.

10 Perkara yang Mesti Dicapai Bila Grad

Terasa macam anak-anak sekolah, masih menulis pada kertas saban tahun target dan keazaman tahun tersebut. Ditampal pula di dinding bilik, dibaca dan tenung sambil berfikir saban hari - mana yang dah, mana yang belum.

Tapi hakikatnya, itulah sumber keazaman saya. Bisikan halus buat diri saban hari dan membiarkan rasa menyusup, rasa yang kadang ada naik turun - keazaman.

Salah satu perkara yang saya nak capai ialah sifat sabar. Sabar dalam mengharungi susah kehidupan juga sabar dalam melayan karenah manusia. Ya, pastinya karenah manusia, kerana saya bakal berdepan dengan ribuan manusia. Masing-masing dengan personaliti dan pemikiran berbeza, maka saya fikir sabar itu sangat penting.

Namun, hakikatnya sabar itu bukan mudah kerana kesabaran yang paling cantik ialah apabila kita marah, ditelan marah itu, ditelan tanpa ada sebarang riak terpamer, yang ada cuma secebis senyuman. Buat penyejuk diri, sebenarnya.

Tak kacau orang lain, so


Kenapa perlu buat begitu dan begini? Apa salah hidup tanpa perlu memikirkan hati dan kepentingan manusia lain, asalkan 'aku tak kacau orang'? Apa salah sekadar ikut 'flow'?

Tak salah, tapi rugi, yang amat. Dan lebih utama, kita sebenarnya tak yakin pada diri. Tak yakin yang kita sebenarnya mampu mencapai sesuatu yang besar.

Teringat saya semasa lawatan Tun Mahathir ke Amman, berpusu-pusu manusia berebut mahu memberi nama, mahu berjumpa Tun. Dan saya tahu, dalam ramai itu, ada seorang yang berbisik "Aku bakal jadi insan yang semua orang nak jumpa, tak perlu aku berebut, Tun yang bakal mencari aku kelak."

Entahlah apa yang orang lain pandang, tapi saya gelar ini keyakinan diri. Dan keyakinan ini tak datang tanpa target dan keazaman, bukan?

Keazaman untuk menyumbang, untuk mengubah manusia ke arah yang lebih baik walau apa aspek sekali pun. Jika muzik, teruskan bermain, alunkan nada sebaiknya, beri manusia ketenteraman yang lahir dari alunan alat muzik kita. Jika masakan kita sedap, panjang-panjangkan tangan menghulur, bagi orang lain merasa enaknya. Walau apa jalan, pasti ada kebaikan yang boleh kita beri, cuma perlu difikir lagi, di sisi Tuhan, masihkah ia dibilang sebagai kebaikan juga? 

Lainlah, kalau anda memilih untuk kekal 'melukut di tepi gantang'..

Tiupkan inspirasi!

Akhirnya, apa target anda? Anda juga punya 'bisikan-bisikan' yang sama, atau berbeza? Mari sebarkan semangat dan keazaman, tiupkan juga kawan-kawan bisikan-bisikan inspirasi. Kerana kata Ketua Batch saya, "Kita berkawan hingga ke syurga".

Salam maal hijrah warga PERMAI!

November 5, 2011

Sejarah beraya di perantauan

Aidilfitri 1429 : Jordan
Aidiladha 1429 : Jordan

Aidilfitri 1430 : Malaysia
Aidiladha 1430 : Jordan

Aidilfitri 1431 : Jordan
Aidiladha 1431 : Jordan

Aidilfitri 1432 : Jordan
Aidiladha 1432 : Jordan


Pengorbanan orang kata...

:')