Ok. Sebelum baca, klik
sini dulu.
Dah klik? Ok, boleh teruskan baca. :)
Kemahiran memimpin ini adalah satu seni. Dalam menjadi ketua,
anda perlu mengajak manusia. Dalam menjadi ketua, anda perlu mempengaruhi
manusia, dan manusia itu bukan senang untuk diajak atau dipengaruhi. Anda
perlukan seni dan seni ini perlu dipelajari, perlu dibangunkan dalam diri.
Kalaulah kekuatan tamadun itu diukur dengan kehebatan dan
kemegahan bangunan, mungkin firaun adalah pemimpin yang paling hebat. Namun,
cuba kita renung seketika, pemimpin yang betul-betul dilatih dalam kerangka
pemikiran dan kefahaman Islam, tidak meninggalkan tamadun mereka dengan
bangunan yang gah dan pelik.
Tetapi mereka meninggalkan manusia yang hebat-hebat, mereka
meninggalkan jiwa-jiwa yang hidup dan segar, yang terus dapat menyebarkan Islam
itu sehinggalah sampai ke dalam jiwa kita. Pemimpin sebegitu tahu apa yang
lebih utama untuk ditinggalkan, apa yang lebih patut untuk dibina.
Mereka tidak membina bangunan yang tersergam indah yang
kemudian dibangga-banggakan, tapi mereka membina generasi demi generasi yang
menyebarkan kefahaman, yang berdikari dalam mebina kehidupan, yang terus
berjuang mati-matian, yang terus mempertahankan kepercayaan dan yang kukuh jati
diri dan pegangan dan sesungguhnya itulah aset yang paling berharga untuk
diwariskan.
Kita mungkin tidak menyentuh mengenai pembinaan tamadun
apabila berbicara tentang PERMAI. Namun, kita tetap bicara tentang membentuk
manusia.
Di PERMAI, kita ada ahli, kita ada kebajikan yang perlu
dijaga, keselamatan yang perlu dipantau, akademik yang perlu diperkasa, dan
lain-lain perkara lagi yang hakikatnya berlegar dalam ruang lingkup berurusan
dengan manusia.
Maka saya kira kepada yang ingin menjadi pemimpin, anda
tidak boleh lihat pengurusan PERMAI dalam ruang lingkup yang mudah dan ringkas,
yang main-main atau boleh dijadikan bahan gurauan, kerana PERMAI bukan
persatuan kampung atau persatuan yang boleh dipandang sebelah mata, kerana
hakikatnya ahli PERMAI tetap manusia.
Mungkin ada orang kata PERMAI sebagai pentas latihan. Pada
saya PERMAI bukan pentas latihan kerana di PERMAI, kalau anda jadi pemimpin,
dosa pahala tetap dikira, amanah yang dipikul tetap akan disoal. PERMAI adalah
medan realiti, cuma mungkin dalam ruang yang lebih kecil dan tersendiri.
Seorang pemimpin, sepanjang perjalanannya, cabaran dan ujian
pasti akan datang selalu. Maka dia perlu mempunyai kekuatan untuk menyelusuri
jalan-jalan dalam hidupnya supaya dia betul-betul akan terus menjadi seorang
ketua yang berwibawa.
Formulanya, anda perlu ada dua kekuatan, kekuatan dalaman
dan luaran. Perlu seimbang dan perlu kena dengan waktu. Ada ketika kekuatan
luaran itu mengatasi kekuatan dalaman, dan ada ketika kekuatan dalaman lebih
diperlukan.
Aspek kekuatan dalaman ialah kefahaman asas tentang apa yang
dibenarkan dan apa yang dilarang dalam agama, kekuatan rohani, pengukuhan jati
diri dan peribadi muslim, kefahaman Islam yang asas, kebergantungan dan
kepercayaan kepada kuasa Tuhan, penjagaan amalam seharian sebagai hamba Allah,
dan keyakinan akan adanya pembalasan di akhirat dan lain-lain lagi. Untuk mudah
difahami, kekuatan dalaman menyentuh aspek-aspek pemngurusan emosi dan
spiritual.
Aspek kekuatan luaran pula ialah kebijaksanaan dan kecekapan
membuat keputusan, pengeluaran idea-idea yang bernas, ketegasan dalam
pendirian, keberanian menyatakan suara dan pandangan, mengkaji dan
menganalisis, pandang jauh ke hadapan, berwawasan, dan lain-lain. Aspek ini
merangkumi perkara-perkara intelektual, ketrampilan dan juga kewibawaan yang
diperlukan sebagai ketua yang sentiasa ke hadapan dan dilihat oleh masyarakat
sebagai penjaga.
Berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan analisis serba
sedikit yang telah saya laksanakan, saya kira ada eloknya untuk saya kongsi
resipi (pada pandangan saya) untuk bakal pimpinan masa depan, sebagai langkah
dan pegangan membawa PERMAI pergi dengan lebih jauh.
Pertama, fahami apa keunikan yang ada pada komuniti ini,
nescaya anda akan tahu bagaimana anda boleh ambil peluang untuk
mempergunakannya. Pemimpin yang bijak ialah pemimpin yang sentiasa tidak
mensia-siakan peluang di depan mata.
Kedua, ingat 3 langkah utama, pertama, kaji sejarah dan
kesilapan lalu, kedua, perhatikan situasi semasa dan ketiga, jangkakan keadaan
masa depan. 3 langkah ini adalah kerangka pandangan yang perlu ada pada
pimpinan. Matanya perlu 360 darjah mengelilingi masa dan memutar waktu.
Ketiga, ada beberapa perkara dalam menggerakkan
PERMAI, yang seolah-olah sama tapi rupanya tak serupa. Pimpinan perlu
bezakan antara,
a) Keperluan, keinginan, tambahan dan pembaziran.
Perkara ini adalah terutamanya dalam melaksanakan program.
Pimpinan perlu tahu mana satu yang jadi keperluan untuk ahli, mana satu yang
sekadar keinginan ahli, mana satu yang sekadar tambahan, dan mana satu yang
dinamakan pembaziran.
Keperluan itu adalah sesuatu yang jika tidak ada perkara
tersebut, maka akan mewujudkan kerosakan pada ahli. Keinginan pula ialah jika
tidak dilaksanakan, maka akan menyebabkan ketidakselesaan ahli, tambahan pula
memberi maksud jika tidak dilaksanakan, maka tak memberi kesan apa-apa kepada
ahli, manakala pembaziran pula memberi erti jika dilaksanakan akan membawa
kerosakan kepada ahli.
b) Sasaran
Dalam melaksanakan sesuatu, kenalpasti sasaran anda. Bezakan
sama ada sasaran itu adalah kelompok tertentu, misalnya hanya pelajar tahun 1
sahaja atau pun sasaran tersebut untuk semua ahli. Teknik mengenalpasti ini
penting kerana akan memberi kesan kepada jenis pelaksanaan, kapasiti program,
kekuatan publisiti dan pemfokusan.
Jika gagal mengenalpasti, anda akan memukul
rata bahawa semua perkara perlu dibuat program besar, maka anda mungkin akan
melaksanakan sesuatu program yang besar, memakan tempat yang besar, kos yang
besar, makan yang besar namun kesan, impak dan outputnya kecil. Ini adalah
persoalan sejauh mana efisyennya anda membuat keputusan.
c) Gerak kerja pentadbiran dan gerak kerja komuniti.
Ini cabang besar yang perlu dibezakan. Anda perlu tahu,
bilakah anda berperanan dalam petadbiran dan bilakah pula anda berperanan dalam
komuniti. Idea-idea anda yang berkaitan pengemasan organisasi, ekonomi, bajet
kewangan dan penyusunan program, itu dikira sebagai gerak kerja pentadbiran
kerana gerak kerja ini melibatkan golongan yang menjadi jawatankuasa.
Namun jika anda membawa idea berkaitan kebajikan ahli,
keselamatan, penempatan, PINTAR, pembentukan individu, modal insan, akademik dan
seumpanya, maka idea anda ialah idea untuk komuniti, dan anda sedang berperanan
untuk komuniti.
d) Pengurus dan pemimpin.
Ini juga antara cabang besar dalam kerusi AMT. Anda perlu
berperanan sebagai pengurus bila anda menguruskan portfolio anda, sebagai
contoh setiausaha atau bendahari. Namun sebagai AMT, idea anda menentukan
polisi dan halatuju PERMAI, maka ketika ini, anda di pentas sebagai pemimpin.
e) Respon dan reaksi.
Respon selalunya adalah hasil dari pemikiran rasional dan
kestabilan emosi. Manakala reaksi selalunya dikawal oleh emosi dan kurangnya
rasional. Pemimpin, dalam apa-apa hal atau isu, dia perlu cepat merespon,
kerana ahli ingin tahu apa pendiriannya. Namun, bukan cepat melatah. Jadi,
seorang pemimpin itu perlu mempunyai sifat sabar dan daya tahan yang tinggi
untuk berfikir secara rasional dalam keadaan yang
stress.
Keempat, pemikiran
pemimpin mahasiswa generasi baru perlu mempunyai ciri-ciri berikut, sesuai
dengan peredaran zaman dan cabaran semasa :
a) Perlu punya pendirian sendiri yang berdiri atas kebenaran,
rasional dan fakta dan berani menyatakannya, dan tak mudah gentar dan condong,
namun dalam masa yang sama turut meraikan pandangan yang berbeza, dan membuka
peluang untuk manusia lain bersuara menyatakan pandangan.
b) Perlu berani mengambil risiko dalam mencuba
perkara-perkara baru jika difikirkan baik untuk semua, namun pelaksanaannya disesuaikan
dengan mengambil kira faktor-faktor setempat dalam masyarakat.
c) Memandangkan ahli mempunyai latar belakang yang berbeza,
maka pimpinan perlu menggunakan pendekatan penyampaian seperti ucapan dan
penulisan yang lebih mesra dan difahami masyarakat. Utamakan isi berbanding
rupa. Kebaikan tetap dapat disampaikan walaupun berbeza jenama.
d) Idea bernas tak
datang begitu sahaja, tapi dibentuk dengan pembacaan, pergaulan dengan manusia,
pemerhatian suasana, dan pengalaman serta kajian. Banyakkan melakukan perkara
tersebut supaya idea anda dapat dikembangkan dan tidak duduk statik di takuk
lama.
Kesimpulannya, sekarang ini, zaman ini, lembaran baru telah
dibuka, anda sebagai bakal pimpinan yang akan menerajui dan menduduki kerusi
yang penuh duri, sama ada akan menutupnya semula dan membiarkan komuniti dalam
dinding-dinding besi atau ingin mengajak ahli lebih ramai bersama memecahkan
benteng dan terus maju ke hadapan.
Sekadar itu sahaja.
Teruskan memacu membawa perubahan, salam perjuangan!